Total Pageviews

Saturday, 5 July 2014

Perginya Biduanita Negara: Datuk Sharifah Aini


Assalamualaikum,
Salam Ramadhan Kareem...


Pagi ini terasa kedinginan...jam 5 pagi terjaga dek deringan jam telefon suami berbunyi untuk mengejutkan kami bersahur. Sebelum bangun, saya membuka telefon untuk melihat panggilan atau Whatsapp kawan-kawan sepengajian kerana telah tidur awal pada malam tadi.

Dup...jantung berdegup...terlihat tajuk salah satu akhbar online negara "Datuk Sharifah Aini meninggal dunia". Terasa bagai tidak percaya, saya terus lagi mencari maklumat di akhbar lain untuk mengesahkan sama ada berita ini benar atau tidak. Lagi dan lagi bagai terus menerus para rakan muka buku mengemaskini status masing-masing mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah.

Lantas bangun dan menyandar di sisi suami untuk memberitahu bahawa perginya biduanita negara itu. Suami dengan keadaan mamai terus mengucap 'Masyaallah,innalillah...'

Jujur, kami bukan dilahirkan bersama beliau, bahkan bukan kenalan rapat atau sedara mara sekalipun. Tetapi dialah biduanita negara yang kami rasakan amat dekat dengan kami, seorang ibunda yang baik hati dan apatah lagi usianya hampir dengan bonda saya....

Jam 8 pagi saya menelefon bonda nun jauh di Kelantan untuk memaklumkan berita ini..Ma sangat terkejut kerana Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini adalah penyanyi yang boleh saya katakan sentiasa berada di hati peminat apatah lagi ibu saya hidup pada zaman popularitinya...arwah Datuk Pah ibarat permata dunia seni pada waktu zaman 60-an bukan sahaja kepada kemerduan suaranya, tetapi kecantikannya jua membuatkan ramai jatuh hati dengannya.

Saya amat terkesan kerana baru beberapa hari sahaja, saudara Kamal rakan sepejabat suami saya meninggal dunia terjatuh di bazar Ramadhan Putrajaya, kini pergi jua seorang lagi hamba Allah yang sangat disayangi ramai. Kebaikan mereka berdua menyebabkan ceritera mereka menjadi bualan.

Itulah kehidupan!
Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali

Wassalam
5.7.2014 @ Kajang

Sunday, 22 June 2014

Minggu Akhir Seminar di Semester Ke-2

Assalamualaikum,

Semalam minggu terakhir untuk menghadiri kelas pada semester ini. Rasa cepat masa berlalu, kini musim peperiksaan semakin hampir. Begitulah kehidupan kami pelajar PJJ. Minggu ini habis kelas, minggu depan sudah ada peperiksaan akhir. Tapi ini yang ditunggu-tunggu oleh kami sebenarnya.

Masa cuti semeter adalah masa untuk bersama keluarga. Cuti ini walaupun rasa sekejap tapi amat bermakna.
Semalam seperti biasa, Ilham dan baba akan menunggu ibu di surau UiTM sementara ibu tamat kelas pada pukul 12.30 tengahari. Rasa lega kerana kelas telah habis dan kini tumpuan untuk menelaah pelajaran pula.

Semoga semester ini saya mendapat keputusan yang terbaik. Selamat tinggal semester 2.
Semeter 3, mu tunggu aku datang...hikhikhik...

Serunding





Assalamualaikum semua,

Syaaban kian meninggalkan kita, Ramadhan melambai-lambai...
Tak sabar rasanya nak berpuasa dan seterusnya menyambut Hari Raya.
Moga tahun ini, kita diberi peluang untuk menyambutnya bersama orang yang tersayang.
Saya jual serunding...macam-macam.
Nak order boleh pm di facebook...
https://www.facebook.com/pages/Kedai-Online-Serbaneka/272278876285122?ref_type=bookmark
atau
Wasap di no:013-4173618

Sambal bilis


Sambal bilis biasanya adalah makanan kegemaran ramai...
Tak lama lagi, bulan puasa makin menghampiri kita....
Sesuai sangatlah untuk dibuat bersahur nanti.
Saya jual sambal bilis.
Nak order boleh wasap ke: 013-4173618

Sunday, 15 June 2014

Kehidupan Pelajar PJJ:Rutin Belajar

Assalamualaikum dan salam sayang,

Hari ini adalah hari terakhir untuk menghadiri kelas atau seminar pada semester ini. Hari ini ada dua tugasan untuk dua subjek yang perlu dihantar iaitu ACC 406 dan ADS 410. Beginilah rutin hujung minggu saya pada setiap hari Ahad yang ada seminar.

Bangun awal pagi, siapkan beg sekolah dan buku sekolah..hikhik..almaklumlah orang dewasa belajar ibarat kembali ke sekolah la gamaknya....hehehe. Ada bekas pensel, beg sekolah, kertas kajang, kertas A4 dan sebagainya.

Pada yang baru mengintai untuk menyambung pengajian tu, jom kawan-kawan kita pakat sambung belajar bukan sahaja untuk kenaikan pangkat tapi dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Nanti, bila dah lama belajar kita akan temui kemanisannya tambahan lagi setiap semester dapat keputusan 3.0 ke atas. Atas usaha dan tidak pernah putus asa, kita akan berjaya. Insya Allah.

Kaedah pengajian secara PJJ di UiTM adalah dilakukan secara online dan menghadiri seminar. Seminar akan diadakan setiap minggu selama 5 hingga 7 kali pada hari Ahad untuk satu semester pengajian. Kelas ini bergantung kepada jumlah subjek yang diambil oleh pelajar. Tapi, pelajar kena ingat bahawa setiap semester kita hanya dibenarkan mengambil paling maksimum jumlah jam kredit adalah 16 jam sahaja. Ini adalah syarat universiti yang perlu dipatuhi melainkan pelajar tahun akhir yang telah dibenarkan secara bersyarat.

Pelajar boleh memilih untuk mengikuti jadual pengajian dari universiti atau mengikut kesesuaian diri sama ada ingin memilih Seminar 1 ataupun Seminar 2 bergantung pada subjek yang diambil pada semester tersebut. Sekiranya kesemua subjek yang pelajar ambil pada semester ini berada di Seminar 1 maka, pelajar akan menghadiri kelas selang 2 minggu sekali. Okay, nampak tak di sini macam mana pelajar perlu menyusun jadual supaya anda ada masa rehat selang seminggu sebelum menghadiri kelas akan datang.

Berbalik pada cerita saya, semester ini saya memilih untuk menghadiri Seminar 2 kerana kesemua subjek saya pada semester ini telah berada di seminar tersebut. Senang kan. PJJ ni tak membebankan pun. Cuma pelajar perlu mencari masa dan kesesuaian untuk mengelakkan anda tewas sebelum berjuang. Yerlah kan, belajar-belajar jugak, kerja adalah keutamaan pada kita. Jangan hilang fokus pada apa yang kita minat dan usahakan.

Kalau pelajar ingin mendapatkan maklumat, boleh layari laman web ini untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan PJJ UiTM di http://www.ined.uitm.edu.my/

Sekian perkongsian pada hari ini. Jom nak siap-siap nak pergi kelas dah.

Wassalam


Saturday, 14 June 2014

Pes Nasi Arab al Bayt



Saya ada jual pes nasi arab. Saya jual pes nasi arab. Jom cuba....

- 4 kotak pes nasi arab terdiri daripada :
+ Nasi Mandy Ayam Saudi
+ Nasi Kabsah Ayam
+ Nasi MAqluba Ayam
+ Nasi Mandy Kambing Yaman


Nak order?
boleh wassap di no:013-4173618

Tips Persediaan Memulakan Kerja Di Tempat Baru

As-salam para pembaca,

Entri sebelum ini, saya ada menulis berkenaan pengalaman bertugas di tempat baru, dan saya ada berjanji untuk berkongsi serba sedikit tips persediaan untuk memulakan langkah dan kayuhan kita sebagai pekerja di tempat baru. Mesti para pembaca seperti saya juga kan, mungkin ada di kalangan kita yang baru memperolehi kerja baru?atau berpindah ke tempat baru?atau pelbagai lagi? Bagaimanakah perasaan kalian bagi menghadapi suasana dan hari yang baru di tempat baru?Mesti sangat bimbang untuk mendapat kawan baru kan? Ataupun sangat cemas dan cuak jika bertemu bos baru dan senior-senior? Saya pasti semua orang menghadapi situasi yang sama jika berpindah tempat baru, ayuh kita meneroka beberapa tips yang boleh saya kongsikan bersama para pembaca


 
Tips-tips seperti berikut:

  1. Sesi suai kenal. Sesi ini amat penting dan perlu diberikan kepada staf baru. Dan kita sebagai pekerja baru di sesuatu tempat perlu ramah berkenal-kenalan untuk memudahkan urusan kita kelak. Sebagai contoh, kita perlu mengenali bos, kawan-kawan, unit-unit,dan persekitaran bagi menarik minat untuk bekerja dan menerima sesuatu yang baru. Orang kata, kalau tak kenal, maka tak cinta. Betul kan pepatah itu kan. Bila dah kenal maka senangla kita untuk bekerja nanti. 
  2.   Jangan sombong dan angkuh. Apabila menjadi staf junior di tempat baru, kita perlu sentiasa senyum dan tidak sombong dengan rakan sekerja.Senyum itu satu sedekah bukan. Adalah baik diamalkan untuk semua supaya kita sentiasa kelihatan mesra pada pandangan orang lain.
  3. Elakkan dari tunjuk pandai. Sebagai orang baru kita perlu sentiasa peka dengan tindakan kita. Walaupun tugas yang diberi telah biasa dibuat, kita perlu elakkan dari menunjuk pandai kerana ini akan mendatangkan rasa tidak senang kepada ketua dan rakan-rakan. Biarlah kita bersederhana dan sentiasa belajar dan belajar untuk meningkatkan produktiviti kita semasa bekerja.
  4.  Komited terhadap kerja yang diberikan. Apabila diberikan kerja oleh ketua ataupun rakan yang lain, lakukan dengan ikhlas dan komited. Jangan liat untuk bertanya.Apabila malu bertanya kita mungkin salah faham atau tidak tepat dalam mengedalikan urusan kerja di tempat baru.
  5. Sentiasa berhati-hati. Kita sebagai orang baru perlu sentiasa berhati-hati agar segala tindak tanduk kita tidak dicurigai oleh rakan sejawat dan ketua kita. Almaklumlah kan kita ni orang baru, segala perbuatan kita akan diperhatikan oleh banyak mata-mata di situ. Sekali silap langkah pasti akan ditokok tambah oleh orang lain.
  6. Elakkan dari bergosip. Bergosip adalah perkara paling utama yang perlu dielakkan oleh staf baru. Ini kerana, dari gosip-gosip yang tidak baik akan menyebabkan berlaku pergaduhan dan perselisihan faham di tempat kerja. Jangan dimulakan persekitaran yang tidak elok kerana ia akan memberi kesan kepada tugas dan pergaulan kita nanti. Perlu selidik dan siasat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jangan meletakkan kepercayaan 100% kepada rakan sekerja yang baru kita kenali kerana kita belum mengenali rakan-rakan baru itu sepenuhnya. Sekadar mendegar dan melihat sahaja sudah mencukupi. Kerana apabila cukup masanya nanti kita akan mengenali sejauh mana sifat rakan baru itu.
  7. Jaga penampilan diri. Penampilan mestilah kemas dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pejabat. Terutama sekali kepada penjawat awam kerana kita perlu mematuhi etika berpakaian yang terkandung dalam pekeliling. Biarlah sentiasa sopan, kemas dan sedap mata memandang. Elakkan dari berpakaian yang menjolok mata dan melanggar etika berpakaian. 
  8. Sentiasa menepati waktu. Sekiranya kita bekerja di tempat baru, buktikanlah kita adalah pekerja yang menepati masa kerana ketepatan dalam bekerja amatlah dipandang tinggi. Datanglah tepat pada masanya supaya orang lain tidak tercari-cari apabila memerlukan kita.
  9. Saya yang menurut perintah. Kita perlu mendengar arahan dan perintah dari ketua unit. Kita perlu mengutamakan tugas-tugas yang diarahkan supaya ketua unit percaya akan kemampuan kita sebagai staf baru.

Sekadar serba sedikit berkenaan tips bekerja di tempat baru untuk dijadikan panduan oleh rakan sekalian.

>Ada banyak lagi tips dan langkah yang  perlu diambil oleh pekerja baru. Para pembaca boleh berkongsi tips tersebut di sini. Jangan segan untuk memberi komen-komen yang berguna di blog ini. Apa salahnya benda yang baik kita kongsikan bersama semoga mendapat manfaat bukan sahaja kepada kita tetapi untuk orang lain.

Wassalam.

Sudah lama tidak bersua

Assalamualaikum dan salam sayang untuk para pembaca....

Telah lama saya tidak bersua di siaran blog ini. Terlebih dahulu saya ingin menyusun sepuluh jari kepada para pembaca kerana agak lama menyepi dan tidak mengemaskini status di blog ini.

Kesibukan yang teramat untuk beberapa minggu ini membuatkan saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada para pembaca. Pada entri sebelum ini, saya ada memberitahu bahawa saya dapat berpindah ke pejabat baru di Putrajaya.

Sangat teruja, gementar, gembira, takut dan bermacam perasaan bermain dalam fikiran. Kini setelah tiga minggu berada di pejabat baru, saya mula merasai, menerima dan mempelajari segala perkara yang tidak pernah saya lalui sebelum ini.

Cukup mencabar rasanya apabila berpindah di tempat baru. Itulah perkataan yang saya dapat terjemahkan kepada pembaca. Saya rasa anda di luar sana juga turut merasai perasaan yang saya hadapi apabila kita berpindah ke tempat baru. Tapi itulah lumrah kehidupan. Setiap yang terjadi pasti ada pertemuan dan perpisahan. Cuma masa dan ketika tidak dapat dijangka bila akan berlaku.Dan jua perpindahan turut bergantung pada sebab musabab yang berbeza. Ada mungkin, kita sebagai pekerja berpindah disebabkan mengikut suami, memilih untuk bertugas di kawasan yang dekat dengan tempat tinggal, berhampiran dengan sekolah anak dan pelbagai lagi.

Oleh itu, di entri yang selepas ini,saya akan kongsi beberapa tips persediaan apabila kita berpindah di tempat baru.
Sekian.

Wassalam

Saturday, 17 May 2014

Jom balik Kedah

Salam sayang kepada pembaca...

Hari ini tajuk entri jom balik kampung. Saya orang Kelantan,  suami orang Kedah. Awal bulan ini, dah balik kampung saya,maka minggu ini giliran kampung suami. Hai rindu suasana kampung. Hati girang bila saya berjaya mendapatkan barang-barang kiriman kawan-kawan daripada rakan sekerja dan rakan sepengajian.

Hari yang penuh aktiviti. Pagi ini, keluar ke Pekan Rabu untuk membeli pekasam kepada kawan-kawan yang telah mengirimnya. Sangatlah teruja sebabnya kami akan menuju ke kedai seorang pak cik yang sentiasa kami kunjungi apabila pulang ke Alor Setar untuk mendapatkan bekalan pekasam, rojak Mak Bee, kopi kampung, rempah kari buatan kampung , dan produk yang terbaru saya membeli sos atau perencah Char Kuey Teow. Sangat gembira kerana saya adalah peminat makanan tersebut. Tak sabar nak balik rumah Kajang untuk mencuba menggunakan sos tersebut.Tak perlu lagi beratur panjang atau makan dalam kepanasan di gerai-gerai untuk menikmati Char Kuey Teow.

Setelah selesai urusan membeli pekasam, terus menuju ke Aidijuma Store di Alor Star Mall. Ya ampun, kegilaan terhadap tudung ini menjadi-jadi apatah lagi berebut bersama dengan penjual tudung ini secara atas talian. Rancak berbual sambil memilih tudung pelbagai corak. Kebetulan hari ini keluar rekaan terbaru.Apa lagi, terus saya memancing beberapa helai untuk dipakai sendiri, tetapi alang-alang membeli terus beli sebanyak 14 helai. Boleh juga menjual kepada kawan-kawan ofis.Tambahan si suami pula memerli aik kalau datang jauh, setakat beli sehelai dua buat apa katanya..Hahaha.Orang lelaki kan biasalah. Terus saya terfikir untuk membeli lebih sedikit dan meminta kawan saya menjual menggunakan instagram milik beliau kerana beliau menjual tudung ini.Jadilah kan dapat untung sedikit. Sebenarnya pada saya lebih kepada minat daripada memikirkan keuntungan yang berganda-ganda. Bagi saya baik untung sedikit tapi kita puas dengan apa yang kita lakukan.

Pada sebelah petang, keluar ke Mydin Mall pula untuk membeli skirt untuk kawan sekerja dan rakan rapat di ofis. Sangatlah teruja sebab harga skirt tersebut hanya RM19.90 sedangkan benda yang sama telah dijual sehingga mencecah RM35 sehelai di pasar-pasar malam sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya. Nampak kan perbezaan hidup di bandar dan di kampung.Walaupun banyak kekurangan tapi kehidupan mereka masih aman makmur dan hidup dalam kesederhanaan. Sangat nikmat kehidupan di kampung.

Setakat itu sahaja rutin saya di kampung pada kali ini. Jomlah kawan-kawan datang ke negeri Kedah.Banyak lagi tempat menarik dan pelbagai juadah hidangan yang sedap dimakan dan harga berpatutan.

Salam sayang
8.20 malam @ Taman Belimbing, Alor Star, Kedah.

Wednesday, 14 May 2014

Surat Pertukaran

Salam sayang semua,

Nak berkongsi cerita gembira untuk rakan-rakan sekalian,

Terlebih dahulu, nak minta maaf sebab minggu sangatlah sibuk. Tak sempat nak bersama pembaca buat seketika.Pada pukul 5 petang, 12.5.2014 saya mendapat pangggilan dari kawan sekerja mengatakan "tukar"...Saya masih bingung dan tak faham apa yang ingin disampaikan. Terkejut pun ada.Sebab terasa macam salah dengar. Saya tanya lagi sekali..Dia cakap datang ke meja dia sekarang.

Jam menunjukkan pukul 5, sangatkah risau sebab suami dan anak dah ada menunggu di depan Bahagian Kecemasan. Almaklumlah, kerja di hospital ni, tempat letak kereta terhad, jadi terpaksa menunggu dalam kereta.Hehehe. Saya pun segera ke Pejabat Pentadbiran untuk berjumpa dengan kawan saya. Dia cakap "tengok ni". Saya ingatkan dia sahaja yang bakal bertukar kerana kami masing-masing menghantar borang untuk bertukar negeri. Pada mulanya kami menghantar ke destinasi yang sama iaitu Kelantan. Tapi disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, borang saya terpaksa ditukar kepada tempat yang berhampiran iaitu Putrajaya. Walaupun rasa Putrajaya itu sangatlah dekat tapi berita itu bermakna juga buat saya kerana akan lebih dekat dengan tempat kerja suami dan taska anak sementelah saya tidak boleh memandu kenderaan dan hanya mengharapkan suami semata-mata.

Kami semua terkejut kerana apabila membuat pertanyaan di kementerian berkenaan pertukaran kami, pegawai berkenaan memberitahu bahawa masih belum mempunyai kekosongan dan dalam senarai menunggu. Maka, pada hemah kami mungkin selepas raya, Insya Allah  akan ada berita gembira. Masing-masing tiada kata sebab terkejut yang teramat  dan seperti mimpi. Keesokan harinya pun kami masih bermesej dapat menerima kenyataan tak???Hahaha..Kelakar pulak.

Terus saya menjadi seperti lipas kudung, semalam pun sempena Hari Wesak, saya turut datang kerja bagi menyiapkan tugasan terakhir saya sebelum menyerahkan tugas kepada pengganti baru nanti. Kalau kita mudahkan orang, Insya Allah, Yang Maha Esa pun mudah kan kita. Betul tak kawan-kawan?
Dengan kerja hakiki yang terlampau banyak, nak menyiapkan Nota Serah Tugas dan pelbagai lagi. Rupanya macam ni rasa penangan orang yang bakal bertukar. Begitu banyak perkara perlu diselesaikan. Begitu singkat rasanya masa dan bagai mencemburui saya, lagi-lagi tarikh lapor diri adalah pada 19.5.2014 iaitu Isnin nanti.

Ya Tuhan mudahkan segalanya untuk saya. Doakan yang baik-baik yer kawan-kawan untuk saya nanti.

Sayang semua...
Assalamualaikum
Kajang @ 5.14 pagi

Saturday, 10 May 2014

Minggu Yang Sibuk

Salam sayang untuk pembaca blog saya,

Maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog setiap hari pada masa dan ketika ini.
Minggu ini adalah minggu kesibukan yang melampau, dengan komitmen tugas yang makin bertambah saban hari dan tarikh untuk menghantar 'assignment' semakin suntuk.

Di tempat kerja pada hujung minggu ini akan diadakan "Premee Party" iaitu sambutan untuk bayi pramatang.Ramai jemputan dijemput hadir. Saya bekerja di jabatan kanak-kanak@pediatrik, sudah tentu terlibat sama walaupun tidak secara langsung.Banyak membantu 'big boss' menyediakan statistik dan 'slide' untuk tayangan umum pada hari tersebut. Namun sayangnya saya tidak dapat hadir ke majlis tersebut yang diadakan pada hari ini, 10 Mei 2014 kerana tugasan belajar amatlah banyak.

Berbalik kepada tugasan belajar pula, semester ini saya mengambil 4 subjek iaitu, HRM,Quality, Law dan Akaun. Pada saya, semester ini amatlah mencabar kerana subjek Law dan Akaun saya tidak mempunyai asas.Lagi-lagi mencabar dengan subjek HRM kerana pensyarah ingin kita fokus dan terperinci apabila membuat tugasan yang diminta. Tak silap saya tiga kali draft dihantar dan ada pembetulan. Hikhikhik. Itula mak suruh belajar masa muda tak nak...Hahahahah..Saja gurau dengan kawan-kawan. Buat pengetahuan, tidak kira lah kita belajar EPJJ ataupun sepenuh masa, perbezaan belajar semasa peringkat diploma dan ijazah adalah sangat berbeza. Mulai peringkat ijazah, kita akan mula terasa kepayahan untuk menelaah pengajian itu semakin kuat tambahan lagi sekiranya ada komitmen lain seperti keluarga dan tempat kerja.

Teringat masa diploma dulu, waktu itu tak terasa pun masa berlalu dengan pantas kerana masih belum matang dan sentiasa gembira dan berseronok. Pergi kelas seronok, hujung minggu melawat Kangar atau Alor Star, almaklumlah saya dulu belajar di UITM Arau. Hehehe. Pada masa itu, jiwa masih muda dan tahu ingin seronok. Tapi apabila dah makin dewasa,pemikiran pun makin matang dan mula berfikir ke arah masa depan. Betul tak?

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian,kan. Minggu ini semakin sibuk kerana minggu ini adalah minggu kelas. Ahad nanti kelas keempat untuk seminar ini. Ada ujian, ada kuiz, tugasan perlu dihantar. Terasa bagai tak cukup masa 24 jam. Hahaha. Tapi saya sangat bersyukur Tuhan masih memberi peluang untuk saya sibuk dan mampu untuk sibuk Terima kasih Yang Maha Esa. Ok, rasanya setakat ini coretan saya. Sekarang nak sambung buat 'assignment'. Jom!

Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.
  - See more at: http://notainsan.blogspot.com/2013/01/kata-kata-hikmah-motivasi-mutiara-kata_12.html#sthash.yNCbDRCW.dpuf

Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.
  - See more at: http://notainsan.blogspot.com/2013/01/kata-kata-hikmah-motivasi-mutiara-kata_12.html#sthash.yNCbDRCW.dpuf

Terima kasih.
4.17 pagi @Kajang

Thursday, 8 May 2014

Saya Pelajar AM228

Salam cinta untuk pembaca semua,

Pernah saya berjanji untuk mencoret sesuatu di sini akan kehidupan belajar saya untuk tatapan pembaca.
Kehidupan belajar saya masih baru kerana saya masih mentah dalam dunia pengajian EPJJ. Saya merupakan pelajar EPJJ UiTM SHAH ALAM,  jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (AM228). Sekarang berada di semester kedua pengajian. Masih jauh perjalanan saya untuk menggapai cita-cita. Namun itu bukan halangan dan penyudah untuk orang yang dahagakan ilmu. Pencarian ilmu bagai perjalanan yang tiada kesudahan kerana ilmu wajib dituntut sehingga akhir hayat kita.

Saya kepingin untuk menyambung pengajian saya dek usaha suami yang tidak pernah mengeluh dalam mengejar ilmu. Sedang saya mengikuti pengajian buat masa ini, suami juga pelajar separuh masa di UKM, Bangi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer. Tengok kawan-kawan, kami suami isteri berlumba-lumba untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Bukan riak, tetapi ingin saya nyatakan bahawa mendapatkan ilmu perlukan pengorbanan lebih-lebih lagi suami isteri yang bekerjaya dan mempunyai keluarga. Saya sangat menyanjungi kawan-kawan saya yang telah bekeluarga bertungkus lumus berada di kehidupan kampus pada hujung minggu manakala hari bekerja, sentiasa bekerja seperti biasa.Moga susahnya kami untuk menuntut ilmu pada hari ini akan terbayar suatu hari nanti.Insya Allah.

Progaram AM228 ini ditawarkan oleh Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Sangat seronok kerana saya minat untuk mendalami ilmu pentadbiran. Program ini memakan masa selama 5 tahun sekiranya tiada pengecualian kredit. Bagi pelajar yang memperolehi banyak pengecualian kredit, sangat untung bagi mereka kerana boleh menghabiskan pengajian lebih awal atau boleh berehat seketika. Seperti saya, saya hanya mendapat pengecualian kredit untuk satu subjek sahaja. Rasanya tiada beza pun dengan kawan-kawan yang tidak mempunyai pengecualian kredit. Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut kawan-kawan boleh melayari website berikut iaitu http://ined.uitm.edu.my/ kerana ini merupakan laman rasmi untuk pengajian EPJJ UiTM. Segala maklumat kursus, yuran, tempoh pengajian dan sukatan pengajian turut disertakan. Kawan-kawan boleh memilih pelbagai progaram yang ditawarkan mengikut kesesuaian masing-masing. Program EPJJ di UiTM buat masa ini ditawarkan dua kali setahun proses pengambilan iaitu pada semester Mac dan September. Saya pelajar September 2013. Yokkk kawan-kawan sambung belajar!!!

Nasihat saya, pilih program yang anda minat untuk meneruskan pengajian kerana ia akan menjadi pemangkin semangat untuk terus utuh dan kuat dalam mendalami ilmu. Pengajian EPJJ ni banyak ujian dan cabaran terutama ibu yang bekerjaya seperti saya. Namun, jangan dijadikan alasan untuk menguburkan impian kita kerana di luar sana masih ramai kawan-kawan seangkatan bersama saya turut bekeluarga dan mempunyai komitmen masing-masing. Nak jadi orang berjaya jangan banyak melontarkan alasan, namun banyak membuahkan usaha!

Moga saya mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa dalam menuntut ilmu. Ilmu duniawi dan ukhrawi perlu seiring dan seimbang yer...

Wassalam
4.11 pagi @ Kajang


Karies Gigi Di Kalangan Kanak-Kanak

Salam sayang semua,

Pagi semalam saya bawak Ilham pergi berjumpa dengan doktor gigi kerana gigi Ilham dah mula menampakkan karies gigi apabila gigi depan ada kerosakan dan sebatang gigi geraham turut bertukar warna kepada coklat. Saya sebagai ibu sangatlah risau kerana usia Ilham baru sahaja memasuki setahun 7 bulan. Ini kali pertama saya bawak Ilham jumpa doktor gigi setelah beberapa kali tertangguh. Dek kesibukan ibu bekerja menyebabkan kelewatan berjumpa doktor gigi. Saya mendapatkan bantuan daripada doktor pakar untuk membuat surat rujukan kepada doktor gigi, almaklumlah ibu bekerja di hospital, maka kita gunakan kemudahan yang ada. Tak gitu kawan-kawan?Agak lama jugak tarikh untuk mendapatkan temujanji kerana sentiasa penuh. Hampir 3 minggu baru dapat tarikh temujanji. Maka 7.5.14 adalah tarikhnya...

Sepatutnya, apabila anak-anak telah mula tumbuh gigi, ibu-ibu perlu mempunyai kesedaran untuk membawa anak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan selang 6 bulan sekali sekiranya tiada apa-apa masalah berlaku. Tetapi disebabkan gigi Ilham dah mula menampakkan karies gigi, doktor mencadangkan 3 kali rawatan selang sebulan sekali untuk datang ke hospital bagi menyapu 'fluoride' pada giginya.Comel dan kelakar jer Ilham bila doktor nak tengok gigi die. Cepat-cepat jer die naik atas kerusi. Hehehe. Tapi doktor suruh babanye naik sekali untuk pegang die sebab die tak brapa nak dok diam. Hahaha. Budak kecil kan.Biasalah...

Doktor turut bertanyakan saya berapa kerap Ilham menyusu dan mencadangkan langkah-langkah untuk mengelakkan gigi Ilham menjadi makin teruk iaitu mengurangkan minum susu pada waktu tengah malam dan menggosok gigi 2 kali sehari. Bab kurangkan menyusu tu..hikhikhik, kesian dekat Ilham...tak pernah kami mak bapaknye sekat die minum susu tengah malam tetiba malam tadi malam pertama kami bagi minum air kosong sebagai sebagai gantian dan mengikuti cadangan doktor pakar. Pada mulanya, dia mencari-cari botol susu.Sangat kelakar dan kesian pun ada.Sabar ek sayang.Nanti Ilham dah biasa ok la. Mengikut kata-kata nasihat daripada doktor, anak-anak yang dah berusia setahun keatas telah makan 'solid food' maka, pengurangan minum susu pada waktu malam boleh dikurangkan kerana apabila menyusu pada waktu tidur, sisa makanan tidak dapat keluar dan melekat pada gigi menyebabkan gigi anak-anak senang rosak. Minum susu adalah bagus, tapi bukan pada waktu tidur kerana sisa makanan melekat berkumpul dalam mulut.

Saya juga turut menyapu 'tooth mouse' pada gigi Ilham dan doktor turut mengiyakan bahawa vitamin itu sangat bagus untuk mengurangkan karies gigi. 'Tooth mouse' itu adalah sejenis sapuan seperti ubat gigi namun selamat jika tertelan. Saya dah mengamalkan vitamin itu selama hampir 5 bulan dan mampu melihat keberkesanannya. Ia bukan untuk mengelakkan tidak berlaku langsung karies tetapi dapat melambatkan kerosakan teruk. Tapi kalau dah rosak teruk baru hendak menggunakannya itu tidak pasti la saya dan baik kawan-kawan rujuk kepada doktor gigi.

Nasihat saya kepada ibu-ibu, sila bawa anak anda berjumpa doktor gigi seawal mungkin sekiranya anak-anak telah mula tumbuh gigi. Selain itu, gosoklah gigi anak anda sekiranya gigi telah mulai tumbuh. Pakai kain basah pun ok masa mula-mula gigi tumbuh tu. Jangan guna berus, kesian gusi dia. Tetapi kalau dah besar seharusnya menggunakan berus juga kerana sisa makanan tidak mampu hilang dengan kain tersebut.Jangan bertindak sebelum terlewat kerana gigi anak-anak adalah penting. Sekiranya gigi masa kecil ini tidak dijaga, kemungkinan gigi kekal tumbuh lebih awal dari usia sebenar, menyebabkan gigi kekal xdapat bertahan lama.Yela kan, gigi kekal tu kita akan guna sampai akhir hayat kita. Gigi adalah harta tidak ternilai untuk semua.

Itu saja perkongsian saya mengenai karies gigi di kalangan kanak-kanak.
Sekian, wassalam
3.14 pagi @ Kajang

Monday, 5 May 2014

Tugasku Sebagai Kerani

Salam sayang untuk para pembaca....

Hari ini adalah hari sibuk saya...Penat sungguh rasanya.Penangan minggu percutian.
Masuk pejabat pukul 6.56 pagi hari ini, pukul 4.30 petang baru teringat menjengah kamar tandas dek kesibukan yang teramat sangat. Itulah tugas saya sebagai kerani. Kalau dulu orang mengatakan tugas kerani itu adalah sesuatu yang enteng, namun tugas sebagai kerani pada masa ini adalah ibarat tulang belakang dan nadi kepada sesebuah organisasi. Sungguh saya hanya bercuti satu hari sahaja. Namun, tugasan tidak pernah habis dan sentiasa ada sementelah saya bertugas di sebuah hospital yang besar. Tugas saya bukan hanya sebagai kerani tetapi merangkap "PA" kepada bos saya.

Tugas saya sentiasa padat. Bermula 6.56 pagi saya telah memulakan tugas dengan membuka diari untuk menyemak segala tugasan yang perlu dibuat pada hari ini. Kemudian bergerak untuk mengedarkan surat-menyurat untuk pegawai perubatan di bilik seminar sekitar 7.45 pagi. Setelah itu disambung dengan kerja hakiki seperti menyiapkan urusan penyimpanan surat dan dokumen dalam fail, merekod cuti pegawai, merekod surat, menjawab panggilan telefon dan sebagainya. Tambahan pula, minggu ini adalah minggu pertama setiap bulan merupakan minggu untuk menghantar tuntutan bekerja lebih masa atau atas panggilan (on call), tuntutan perjalanan dan sebagainya. Tugas saya lagi, adalah menguruskan 'houseman' dari bermula lapor diri, tamat latihan, rekod cuti, dan sebagainya perlu dipantau oleh saya dan penyelaras. Setiap hari begini la rutin harian saya.

Buat pengetahuan pembaca, bukan tugas-tugas ini sahaja, pelbagai lagi tugas yang perlu dilakukan oleh kerani. Maka, sayangila tugas anda, hargai jasa kerani, kerana setiap tugas yang dilakukan anggaplah ia sebagai satu amanah yang amat besar dari Allah untuk kita. Biar penat, saya sayang tugas saya sebagai kerani.

Kerani itu permulaan bagiku...
Nantikan entri hebat dari saya setiap masa.
Saya sayang semua!!!!

Sunday, 4 May 2014

Minggu Percutian

Salam sayang salam cinta untuk pembaca semua..

Beberapa hari lepas, adalah minggu percutian di kampung sempena cuti Hari Pekerja 1 Mei.
Sekarang jam 16.58 petang, masa untuk berehat seketika sambil ingin menyiapkan "assigment" dan projek untuk dihantar pada hujung minggu ini. Kepenatan pulang dari kampung masih  belum hilang, tapi saya gagahi jugak untuk mencoret sesuatu di sini dan sambil mencari idea untuk menyiapkan tugasan itu.
Menempuhi perjalanan dari Kuala Krai ke Kajang selama hampir 8 jam amat mencabar hari ini.
Jalan rosak, kena saman di Raub, Pahang, dan macam- macam lagi.

Percutian selama 4 hari juga amat mencabar kerana rumah bondaku tiada air. Sehingga terpaksa mandi di merata masjid, mengangkut air dari masjid kerumah, dan makan di luar. Rindu nak makan air tangan ibu, tapi apakan daya percutian kali ini amat mengehadkan kami adik beradik untuk berjimba di kampung. Namun, saya rasa sangat puas sebab dapat berkumpul adik beradik dan buat BBQ. Sangat gembira kerana bukan selalu dapat kami berkumpul.

Nak tahu lagi banyak cerita saya, sila ikuti blog ini sentiasa.
Sayang semua!!!
Salam.

Wednesday, 30 April 2014

Ibu Bekerja Sambil Belajar

Salam cinta semua,

Hari ini nak cerita pasal hari Ahad yang lepas. Setiap Ahad dua minggu sekali saya akan menghabiskan masa selama hampir 12 jam di UiTM Seksyen 17.Bila tiba hari Ahad yang ada kelas, mesti akan ada macam2 perasaan. Penat, ngantuk, bosan, semua ada.Itula dugaan belajar bagi wanita yang bekerjaya dan juga seorang isteri serta ibu kepada Ilham Yusuf. Itula cinta hati saya yang comel. Ibu sayang ilham dan baba!!!

Berbalik kepada cerita belajar, saya mula belajar pada September 2013. Sekarang semester kedua.
Masih mentah lagi dalam dunia EPJJ. Namun, itula dunia saya kini. Dunia buku-buku, assignment, dan projek. Aku budak sekolah!!Hehehehe...

Untuk pengetahuan semua, EPJJ ni sangatla mencabar terutama bagi wanita yang telah bekeluarga seperti ibu Ilham ni. Macam-macam dugaan saya hadapi. Kekangan waktu adalah rating paling tinggi cabaran dalam dunia pelajar jarak jauh kerana perlu meluangkan masa bersama anak dan suami, ibu bapa, keluarga mentua, komitmen di tempat kerja, tugas sebagai suri di rumah, semua itu adalah cabaran untuk saya. Ibu-ibu yang lain pun sama kan? Kita adalah apa yang kita inginkan. Maka dengan penuh semangat saya nekad berjuang.!!!Demi kerana ilmu saya gagahi jua.

Episod cerita belajar akan disambung nanti...
Sekiranya ada pertanyaan berkenaan belajar, silakan semua bertanya di sini.Insyaallah saya akan jawab.

Sunday, 27 April 2014

Entri Pertama:Salam Perkenalan

Salam cinta salam sayang salam ukhwah salam perkenalan untuk semua.
Assalamulaikum ....

 
Anak ayam disambar musang,
          Musang diam di balik kuini,
Teratak kami banyak yang usang ;
          Harapkan damai Tuan di sini.

Sampan kolek mudik ke hilir,
          Sarat muatan rempah dan jamu,
Layar dikembang, senyum diukir ;
          Menyambut Tuan datang bertamu.


Kali pertama mencoret nukilan di laman blog sendiri perasaan teruja dan gembira bercampur baur.
Semoga travelog kehidupan saya sebagai penulis yang dikarang di muka buku ini memberi manfaat di sisi pembaca sekalian.Pantun di atas menggambarkan keterujaan saya untuk menjemput para pembaca singgah di sini untuk berkongsi ceritera kehidupan masing-masing. Inginkan hidup yang ceria dan nak pastikan hidup ini bermakna untuk diri sendiri & orang lain. Berkongsi segala catatan, pengalaman,resepi, tempat menarik dan bisnes untuk tatapan para suri.

SELAMAT DATANG!