Tips Persediaan Memulakan Kerja Di Tempat Baru

As-salam para pembaca,

Entri sebelum ini, saya ada menulis berkenaan pengalaman bertugas di tempat baru, dan saya ada berjanji untuk berkongsi serba sedikit tips persediaan untuk memulakan langkah dan kayuhan kita sebagai pekerja di tempat baru. Mesti para pembaca seperti saya juga kan, mungkin ada di kalangan kita yang baru memperolehi kerja baru?atau berpindah ke tempat baru?atau pelbagai lagi? Bagaimanakah perasaan kalian bagi menghadapi suasana dan hari yang baru di tempat baru?Mesti sangat bimbang untuk mendapat kawan baru kan? Ataupun sangat cemas dan cuak jika bertemu bos baru dan senior-senior? Saya pasti semua orang menghadapi situasi yang sama jika berpindah tempat baru, ayuh kita meneroka beberapa tips yang boleh saya kongsikan bersama para pembaca


 
Tips-tips seperti berikut:

  1. Sesi suai kenal. Sesi ini amat penting dan perlu diberikan kepada staf baru. Dan kita sebagai pekerja baru di sesuatu tempat perlu ramah berkenal-kenalan untuk memudahkan urusan kita kelak. Sebagai contoh, kita perlu mengenali bos, kawan-kawan, unit-unit,dan persekitaran bagi menarik minat untuk bekerja dan menerima sesuatu yang baru. Orang kata, kalau tak kenal, maka tak cinta. Betul kan pepatah itu kan. Bila dah kenal maka senangla kita untuk bekerja nanti. 
  2.   Jangan sombong dan angkuh. Apabila menjadi staf junior di tempat baru, kita perlu sentiasa senyum dan tidak sombong dengan rakan sekerja.Senyum itu satu sedekah bukan. Adalah baik diamalkan untuk semua supaya kita sentiasa kelihatan mesra pada pandangan orang lain.
  3. Elakkan dari tunjuk pandai. Sebagai orang baru kita perlu sentiasa peka dengan tindakan kita. Walaupun tugas yang diberi telah biasa dibuat, kita perlu elakkan dari menunjuk pandai kerana ini akan mendatangkan rasa tidak senang kepada ketua dan rakan-rakan. Biarlah kita bersederhana dan sentiasa belajar dan belajar untuk meningkatkan produktiviti kita semasa bekerja.
  4.  Komited terhadap kerja yang diberikan. Apabila diberikan kerja oleh ketua ataupun rakan yang lain, lakukan dengan ikhlas dan komited. Jangan liat untuk bertanya.Apabila malu bertanya kita mungkin salah faham atau tidak tepat dalam mengedalikan urusan kerja di tempat baru.
  5. Sentiasa berhati-hati. Kita sebagai orang baru perlu sentiasa berhati-hati agar segala tindak tanduk kita tidak dicurigai oleh rakan sejawat dan ketua kita. Almaklumlah kan kita ni orang baru, segala perbuatan kita akan diperhatikan oleh banyak mata-mata di situ. Sekali silap langkah pasti akan ditokok tambah oleh orang lain.
  6. Elakkan dari bergosip. Bergosip adalah perkara paling utama yang perlu dielakkan oleh staf baru. Ini kerana, dari gosip-gosip yang tidak baik akan menyebabkan berlaku pergaduhan dan perselisihan faham di tempat kerja. Jangan dimulakan persekitaran yang tidak elok kerana ia akan memberi kesan kepada tugas dan pergaulan kita nanti. Perlu selidik dan siasat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jangan meletakkan kepercayaan 100% kepada rakan sekerja yang baru kita kenali kerana kita belum mengenali rakan-rakan baru itu sepenuhnya. Sekadar mendegar dan melihat sahaja sudah mencukupi. Kerana apabila cukup masanya nanti kita akan mengenali sejauh mana sifat rakan baru itu.
  7. Jaga penampilan diri. Penampilan mestilah kemas dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pejabat. Terutama sekali kepada penjawat awam kerana kita perlu mematuhi etika berpakaian yang terkandung dalam pekeliling. Biarlah sentiasa sopan, kemas dan sedap mata memandang. Elakkan dari berpakaian yang menjolok mata dan melanggar etika berpakaian. 
  8. Sentiasa menepati waktu. Sekiranya kita bekerja di tempat baru, buktikanlah kita adalah pekerja yang menepati masa kerana ketepatan dalam bekerja amatlah dipandang tinggi. Datanglah tepat pada masanya supaya orang lain tidak tercari-cari apabila memerlukan kita.
  9. Saya yang menurut perintah. Kita perlu mendengar arahan dan perintah dari ketua unit. Kita perlu mengutamakan tugas-tugas yang diarahkan supaya ketua unit percaya akan kemampuan kita sebagai staf baru.

Sekadar serba sedikit berkenaan tips bekerja di tempat baru untuk dijadikan panduan oleh rakan sekalian.

>Ada banyak lagi tips dan langkah yang  perlu diambil oleh pekerja baru. Para pembaca boleh berkongsi tips tersebut di sini. Jangan segan untuk memberi komen-komen yang berguna di blog ini. Apa salahnya benda yang baik kita kongsikan bersama semoga mendapat manfaat bukan sahaja kepada kita tetapi untuk orang lain.

Wassalam.

Comments

Popular Posts