Saya Pelajar AM228

Salam cinta untuk pembaca semua,

Pernah saya berjanji untuk mencoret sesuatu di sini akan kehidupan belajar saya untuk tatapan pembaca.
Kehidupan belajar saya masih baru kerana saya masih mentah dalam dunia pengajian EPJJ. Saya merupakan pelajar EPJJ UiTM SHAH ALAM,  jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (AM228). Sekarang berada di semester kedua pengajian. Masih jauh perjalanan saya untuk menggapai cita-cita. Namun itu bukan halangan dan penyudah untuk orang yang dahagakan ilmu. Pencarian ilmu bagai perjalanan yang tiada kesudahan kerana ilmu wajib dituntut sehingga akhir hayat kita.

Saya kepingin untuk menyambung pengajian saya dek usaha suami yang tidak pernah mengeluh dalam mengejar ilmu. Sedang saya mengikuti pengajian buat masa ini, suami juga pelajar separuh masa di UKM, Bangi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer. Tengok kawan-kawan, kami suami isteri berlumba-lumba untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Bukan riak, tetapi ingin saya nyatakan bahawa mendapatkan ilmu perlukan pengorbanan lebih-lebih lagi suami isteri yang bekerjaya dan mempunyai keluarga. Saya sangat menyanjungi kawan-kawan saya yang telah bekeluarga bertungkus lumus berada di kehidupan kampus pada hujung minggu manakala hari bekerja, sentiasa bekerja seperti biasa.Moga susahnya kami untuk menuntut ilmu pada hari ini akan terbayar suatu hari nanti.Insya Allah.

Progaram AM228 ini ditawarkan oleh Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Sangat seronok kerana saya minat untuk mendalami ilmu pentadbiran. Program ini memakan masa selama 5 tahun sekiranya tiada pengecualian kredit. Bagi pelajar yang memperolehi banyak pengecualian kredit, sangat untung bagi mereka kerana boleh menghabiskan pengajian lebih awal atau boleh berehat seketika. Seperti saya, saya hanya mendapat pengecualian kredit untuk satu subjek sahaja. Rasanya tiada beza pun dengan kawan-kawan yang tidak mempunyai pengecualian kredit. Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut kawan-kawan boleh melayari website berikut iaitu http://ined.uitm.edu.my/ kerana ini merupakan laman rasmi untuk pengajian EPJJ UiTM. Segala maklumat kursus, yuran, tempoh pengajian dan sukatan pengajian turut disertakan. Kawan-kawan boleh memilih pelbagai progaram yang ditawarkan mengikut kesesuaian masing-masing. Program EPJJ di UiTM buat masa ini ditawarkan dua kali setahun proses pengambilan iaitu pada semester Mac dan September. Saya pelajar September 2013. Yokkk kawan-kawan sambung belajar!!!

Nasihat saya, pilih program yang anda minat untuk meneruskan pengajian kerana ia akan menjadi pemangkin semangat untuk terus utuh dan kuat dalam mendalami ilmu. Pengajian EPJJ ni banyak ujian dan cabaran terutama ibu yang bekerjaya seperti saya. Namun, jangan dijadikan alasan untuk menguburkan impian kita kerana di luar sana masih ramai kawan-kawan seangkatan bersama saya turut bekeluarga dan mempunyai komitmen masing-masing. Nak jadi orang berjaya jangan banyak melontarkan alasan, namun banyak membuahkan usaha!

Moga saya mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa dalam menuntut ilmu. Ilmu duniawi dan ukhrawi perlu seiring dan seimbang yer...

Wassalam
4.11 pagi @ Kajang


Comments

Popular Posts